Wednesday 12 August 2015

7.0 Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan IKS Luar Bandar



Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan IKS Luar Bandar antaranya adalah dengan menggunakan teknologi. Penggunaan teknologi tidak mustahil pengusaha IKS mampu untuk mengetengahkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa. Ini dapat dilihat di mana teknologi membantu IKS untuk meneroka pasaran baru dengan kos yang minimum. Dengan menggunakan kelebihan teknologi sebagai saluran jualan dan pemasaran yang berkesan, pengusaha dapat meyakinkan pelanggan untuk membeli produk keluaran IKS disamping dapat meningkatkan keupayaan IKS untuk mencari pelanggan baru, tempatan dan luar negara. Kelebihan teknologi tersebut, membolehkan IKS menjadi lebih produktif dan cekap, lantas lebih kompetitif dalam meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi Negara.
IKS boleh memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan yang membawa kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti. Salah satu aplikasi teknologi yang membolehkan IKS meningkatkan kualiti produk dan jumlah pengeluaran ialah melalui penggunaan mesin. Iklim perniagaan yang semakin banyak berubah pada masa kini seperti negara tidak mampu lagi membekalkan tenaga kerja yang murah hasil daripada perubahan taraf hidup dan kos sumber pengeluaran yang semakin meningkat. Penggunaan mesin menjadi semakin penting dan amat dititiberatkan oleh IKS kerana ianya lebih efektif dan menjimatkan masa kerana sesuatu proses pengeluaran berlaku dengan cepat di mana mesin mampu menghasilkan jumlah pengeluaran produk dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh masa singkat seperti mesin pemotong ubi yang  boleh memotong ubi dengan lebih efektif berbanding dengan tenaga manusia. Malah, dengan adanya mesin pengusaha IKS dapat menjimatkan kos kerana sudah ada mesin yang mengantikan tenaga manusia maka pengusaha tidak perlu lagi membayar gaji pekerja setiap bulan. Bukan itu sahaja, berbanding dengan tenaga manusia mesin dapat membantu menjadikan kualiti produk dan perkhidmatan sentiasa terkawal dan berada dalam keadaaan yang baik kerana mesin tidak mudah penat dan jemu dalam menghasilkan produk berbanding tenaga manusia yang boleh menjejaskan prestasi perniagaan.
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi status dan kemampuan IKS untuk bersaing dengan industri-industri yang lebih besar. IKS juga boleh mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka. Sebagaimana yang kita telah ketahui, penggunaan teknologi maklumat telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah yang lain. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya untuk pengusaha-pengusaha tempatan mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan keberkesanan dalam pengurusan. Dengan teknologi maklumat, IKS dapat mengakses maklumat dari semasa ke semasa berkaitan dengan perniagaan dengan lebih meluas. Maklumat yang telah diakses tersebut sedikit sebanyak dapat membantu IKS untuk menghadapi persaingan dengan industri-industri lain yang berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. IKS juga dapat menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan yang lebih besar serta untuk mendapatkan potensi perniagaan yang lebih baik. Disamping itu, idea-idea yang lebih kreatif boleh dicetuskan supaya kaedah atau cara yang lebih baru boleh digunakan untuk memperbaiki operasi perniagaan selain dapat menambah baik proses keseluruhan melalui penggunaan kaedah khusus untuk sistem dan proses perniagaan yang lebih cekap.
Selain itu, IKS juga boleh memanafaatkan penggunaan internet dalam perniagaan mereka kerana dengan menggunakan internet sebagai medium perniagaan, IKS mampu meluaskan pasaran ke serata dunia dalam masa yang sama dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Ini kerana penggunaan internet banyak menyumbang kepada kejayaan IKS di mana kemampuan internet untuk melangkaui batas-batas sempadan politik dan geografi tanpa sebarang halangan dalam masa yang begitu singkat. Internet sememangnya memberi kebaikan kepada pengguna, organisasi dan masyarakat. Dengan pelaburan yang rendah, IKS dapat mempromosikan produk keluaran kepada pengguna di seluruh dunia. Malah, perbelanjaan percetakan untuk tujuan promosi dan pengiklanan juga dapat dielakkan sama ada di dalam surat khabar, katalog atau majalah di mana ia memerlukan kos yang agak tinggi. Bukan itu sahaja, kandungan iklan dapat direka mengikut citarasa sendiri dan penerangan mengenai produk boleh dibuat dengan lebih terperinci. Dengan penggunaan teknologi, pengusaha IKS boleh berhubung dengan pelanggan dengan lebih dekat lagi tanpa perlu bersemuka dimana pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membantu IKS dalam menaikkan lagi prestasi perniagaan disamping dapat menyumbang kepada ekonomi negara. Dalam usaha untuk mempromosikan produk, pengusaha IKS juga boleh menggunakan laman sosial sepertifacebook’, ‘instagram’, ‘tagged’, dan sebagainya untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan yang lama.
Penggunaan laman web juga penting untuk tujuan pemasaran dan mempromosikan produk dan perkhidmatan IKS. Laman web merupakan saluran terbaik bagi memasarkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang minimum. Perkhidmatan laman web menjadi satu keperluan bagi membantu perusahaan IKS yang mungkin tidak diketahui oleh pelanggan tentang kewujudannya di pasaran untuk lebih dikenali bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah dalam pasaran antarabangsa juga. Dengan menggunakan laman web, organisasi tidak perlu mempunyai saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna tentang kewujudan organisasi dalam pasaran malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan dalam talian yang kukuh dan berkesan sudah cukup untuk meyakinkan pengguna. Ini kerana, saiz firma yang besar tidak menjamin kepada pengguna bahawa keadaan syarikat adalah kukuh. Berbeza dengan kaedah tradisional, maklumbalas dari pelanggan adalah lambat serta memakan masa yang lama dan kadang-kadang sukar untuk diketahui. Dengan teknologi, maklumbalas dapat diterima dengan cepat melalui e-mail atau ruangan maklumbalas yang disediakan oleh pengusaha dalam perkhidmatan laman web mereka. Pelanggan boleh mengemukakan idea dan komen dalam ruangan atau e-mail yang disediakan oleh pengusaha dalam laman web. Ini membolehkan pengusaha IKS sentiasa peka dengan kehendak dan permintaan pasaran dari semasa ke semasa dan membolehkan perusahaan mengeluarkan serta menghasilkan produk atau perkhidmatan mengikut citarasa pengguna.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi banyak mempengaruhi kejayaan IKS dan sememangnya memberi perubahan yang besar kepada produktiviti IKS. Oleh yang demikian, pelbagai langkah perlu diperkenalkan untuk membantu IKS memodenkan operasi dan mengurangkan kos pengeluaran. Antara yang boleh dipertingkatkan ialah intensif yang menggalakkan pengusaha IKS terutamanya di luar bandar beralih daripada cara tradisional kepada teknologi moden. Pengusaha IKS di luar bandar juga perlu didedahkan dengan bidang teknologi moden supaya perusahaan mereka dapat diperbesarkan dan produk-produk yang dihasilkan boleh dipasarkan sehingga ke luar negara. Ke arah itu juga, persekitaran yang lebih kondusif bagi pengusaha IKS membangunkan jenama masing-masing perlulah disediakan.

No comments:

Post a Comment