Wednesday 12 August 2015

4.0 Kepentingan dan Sumbangan IKS Luar Bandar Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara



Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan  “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS  telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan Negara

Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar.  Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’.  Sebagai contoh  kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan  dan lain-lain lagi.  Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini.  Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi Negara.
Selain itu, perkara yang sering diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya meningkatkan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian memandangkan
IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Hal ini secara terus dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS. Selain itu, peranan IKS sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut. Bagi sejumlah modal yang kecil juga sukar bagi seseorang pengusaha mendapat faedah yang sama dalam firma besar. Peluang pekerjaan dalam IKS ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja terlibat. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi. Di samping itu, IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa. Hasilnya, struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat. IKS dapat memberi sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran.
Tambahan lagi, hubungjalin yang sesuai boleh memberi faedah penting dari segi perpindahan teknologi, peningkatan kualiti barangan, produktiviti, latihan dan kemahiran kepada pengusaha dan pekerja di samping mempercepatkan pembinaan struktur asas perindustrian negara dengan lebih baik. IKS juga penting dalam menambahkan tabungan dan pelaburan dalam ekonomi.Dalam mengagihkan pendapatan di kalangan penduduk, dalam memberikan latihan dan pengembangan kemahiran untuk pekerja dan pengusaha, dalam membantu memperkukuhkan struktur asas industri nasional, dalam mempertingkatkan hubung jalin dengan firma besar dan multi-nasional dalam ekonomi dan dalam menyediakan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh firma-firma besar dan multinasional. Atas sebab ini, kepentingan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan ekonomi negara mendapat pengiktirafan yang meluas. IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.
Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses
 pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil  pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan  perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara   tidak langsung sektor pertanian akan meningkat.
Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin  meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana  kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan  rakyat di negara kita yang tercinta ini.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli  kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk  membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah  kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia  akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.


No comments:

Post a Comment