Wednesday 12 August 2015

5.0 Halangan dan Cabaran IKS Luar Bandar



Menjadi seorang usahawan bukanlah satu perkara yang mudah. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya pelbagai dugaan dan rintangan yang perlu ditempuhi. Tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa ada usaha untuk mendapatkannya. Hanya individu yang tabah dan cekal mampu untuk bertahan di dalam dunia perniagaan yang penuh dengan cabaran ini. Tambahan pula dizaman perkembangan teknologi masa kini, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan haruslah seiring dengan pemodenan agar dapat bersaing dengan pasaran luar disamping memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang pelbagai.
Halangan dan kesukaran produk yang dihasilkan oleh pengusaha perindustrian Kecil dan Sederhana (IKS) memasuki pasar raya-pasar raya besar sedikit sebanyak menyukarkan pengusaha IKS untuk memasarkan barangan keluaran mereka. Banyak alasan yang diberikan oleh peniaga pasar raya–pasar raya seperti barangan tidak berkualiti, kaedah pembungkusan yang tidak sesuai dan menarik atau gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan merupakan antara faktor yang menyekat kemasukan produk IKS ke dalam pasar raya besar asing dan tempatan di negara ini. Masalah permodalan orang yang berminat untuk melibatkan diri dalam IKS. Kebanyakan pemuda-pemudi yang berniat untuk memulakan perusahaan dalam IKS adalah graduan yang baru keluar daripada institusi tinggi. Mereka yang masih belum bekerja dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memulakan pengusahaan dalam IKS. Tambahan lagi, kesukaran untuk mendapatkan modal daripada bank-bank swasta kerana syarat-syarat  pinjaman yang ketat dan memerlukan cagaran.
Di samping itu, pengusaha-pengusaha IKS juga menghadapi aliran modal kerana jualan mereka hanya mendapat kredit selepas dijual. Justeru,adalah sukar untuk mengembangkan industri ini.
Selain itu, cabaran yang dihadapi oleh industri ini adalah dari segi kemahiran dan latihan pengusaha-pengusaha. Kebanyakan pengusaha industri ini mengusahanya di kawasan luar bandar. Kebiasaanya, ia dikendalikan oleh pengusaha –pengusaha yang kurang berpendidikan. Mereka menggunakan teknologi teknologi yang rendah kerana tidak memperoleh latihan dan kemahiran yang sistematik. Tanpa latihan dan kemahiran yang bersesuaian,teknologi rendah menjadi cabaran pembangunan industri ini.
Aspek pasaran juga menjadi satu cabaran untuk kemajuan industri ini. Ruang atau skop pasaran adalah terhad kerana barangan yang diusahakan,misalnya makanan tidak boleh tahan lama. Pasaran industri ini lebih bersikap setempat dan sukar menembusi pasaran yang luas kerana kekurangan pengiklanan dan promosi. Oleh itu,pasaran IKS terhad kepada golongan luar bandar sahaja.
Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh industri ialah bahan mentah. Adakalanya masalah  dari segi mendapatkan bahan mentah pada musim tertentu menyekat industri ini. Masalah harga bahan mentah yang turun naik turut menjejaskan kos pengeluaran dan dilihat sebagai penghalang untuk pembagunan industri ini. Selain itu, bahan mentah yang tidak boleh disimpan kerana mungkin mengalami kerosakan atau tida kemudahan stor juga menjadi masalah.

No comments:

Post a Comment