Wednesday 12 August 2015

6.0 Sistem Sokongan IKS Luar Bandar



Sokongan kerajaan tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kejayaan IKS. Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong pembangunan IKS. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan IKS yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan sumbangan IKS kepada ekonomi negara. Sokongan kerajaan bagi membangunkan IKS adalah dalam bentuk program yang dirangka khusus bagi menyediakan infrastruktur supaya lebih mudah bagi pengusaha menceburi bidang perniagaan, menanam semangat keusahawanan dan mendidik bakal usahawan.
Bagi memastikan IKS terus berdaya maju, pelbagai langkah turut diatur oleh kerajaan untuk membantu IKS meningkatkan kejayaan mereka. Sesebuah IKS akan maju jika diberi pertolongan dalam semua perkara terutamanya dari segi pinjaman kewangan. Oleh kerana IKS memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan jumlah dana yang semakin meningkat pada setiap tahun. Untuk pengusaha yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pinjaman modal amatlah diperlukan untuk memulakan sesuatu perusahaan. Dengan adanya pinjaman tersebut, IKS dapat  membangunkan perusahaan mereka terutamanya kepada perusahaan-perusahaan yang masih dalam peringkat untuk berkembang sehingga ke tahap global. Disamping itu juga, pinjaman yang disediakan membantu untuk membuka peluang kepada golongan IKS yang sedia ada mengembangkan perniagaan mereka selain dapat memenuhi keperluan dalam memulakan perniagaan baru.
Sebagaimana yang kita telah ketahui, IKS sering dikaitkan dengan kekurangan dana untuk membeli teknologi. Bagaimanapun, ini semua akan berubah dengan adanya bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada IKS. Hasrat kerajaan untuk melihat IKS terus berkembang maju menyebabkan pinjaman dari segi kewangan dipermudahkan dan dipertambahkan dalam jumlah yang lebih banyak. Usaha ini secara tidak langsung akan membantu memberi impak yang positif kepada ekonomi Negara.
Kerajaan terus memainkan peranan aktif dalam membangunkan IKS menerusi pelbagai program dan aktiviti. Dalam usaha ke arah mewujudkan dan membangunkan usahawan yang dinamik dan berpengetahuan, kerajaan telah menganjurkan kursus dan latihan kepada IKS terutamanya untuk usahawan yang berpotensi dan sedia ada. Kursus dan latihan yang diberikan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan pekerja untuk memastikan IKS memiliki kumpulan tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan terutamanya dari segi pengurusan. Agensi yang terlibat dalam kursus dan latihan ini kebiasaanya dibuat oleh pihak TEKUN dan MARA, kerana agensi ini amat memberi peranan dalam latihan dan kursus yang dibuat untuk usahawan IKS, seperti kursus dan latihan pembungkusan, kewangan, kepimpinan, pengurusan, dan sebagainya. Walaupun mempunyai dana yang mencukupi, perusahaan IKS tidak mungkin berjaya sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam menguruskan perusahaan. Dengan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, pekerja dapat membantu dalam meningkatkan produktiviti organisasi. Kursus dan latihan yang disediakan penting bagi membolehkan sesebuah organisasi berkembang menjadi syarikat yang berjaya dalam peringkat domestik serta dapat melangkau ke peringkat serantau dan global.
Dengan melihat kepada segala keperluan IKS dari segi kewangan dan kemahiran, kerajaan turut menawarkan khidmat nasihat perniagaan yang komprehensif kepada IKS supaya IKS mendapat khidmat nasihat yang berkualiti tinggi dan lebih baik berbanding sebelumnya terutamanya dalam bidang pemasaran, pengurusan dan operasi. Perkhidmatan yang telah ditawarkan kepada IKS adalah dalam semua peringkat kitaran perniagaan bagi membantu mereka berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam aktiviti perniagaan. Terdapat beberapa agensi yang menyediakan khidmat nasihat kepada IKS. Antaranya ialah seperti SMIDEC, MARDI dan MARA.
 Tujuan khidmat nasihat ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi panduan kepada IKS tentang cara menguruskan perniagaan dengan lebih baik terutamanya dalam persekitaran kos yang semakin meningkat dan lebih sukar pada masa kini. IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah yang berkesan untuk menguruskan perniagaan dan secara tidak langsung membantu bagi mengukuhkan operasi perniagaan IKS. Selain itu, IKS boleh mendapatkan maklumat yang pelbagai bagi menangani masalah yang dihadapi dalam perniagaan dan memperbaiki proses pengurusan. Dengan adanya khidmat nasihat tersebut, pengusaha IKS akan lebih bermotivasi dalam menjalankan perniagaan serta dapat menghasilkan idea yang lebih kreatif untuk diaplikasikan dalam perniagaan pada masa depan.
Untuk mengembangkan lagi perniagaan IKS, kerajaan turut menyediakan infrastruktur atau kemudahan bagi menyokong pertumbuhan IKS terutamanya kepada IKS di kawasan luar bandar. Antara kemudahan yang disediakan ialah kilang dan bengkel, penyediaan  subsidi tanah, subsidi mesin dan subsidi pengangkutan dan sebagainya. Kemudahan ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi keselesaan dan memudahkan lagi proses perniagaan IKS dijalankan. Malah kemudahan tersebut juga memberi peransang kepada IKS dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan memajukan organisasi. Sebagai contoh, melalui penyediaan tanah oleh kerajaan, pengusaha IKS boleh memanfaatkan kemudahan tersebut untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan atau sebagai tempat untuk menghasilkan bahan mentah sendiri. Dengan itu, pengusaha dapat mengurangkan kos di mana sekiranya IKS sudah mempunyai tapak atau bahan mentah sendiri maka pengusaha tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membayar sewa dan kos untuk bahan mentah. Dari segi penggunaan mesin pula ia boleh meningkatkan hasil keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia amat mempengaruhi pemasaran untuk pembekalan yang berterusan. Dari segi pengangkutan pula ia memudahkan untuk ke satu kawasan ke kawasan yang lain, dimana ia amat membantu dalam penghantaran bekalan dan memperolehi bekalan dengan cara yang lebih berkesan.
Untuk memudahkan dan membantu IKS dalam perniagaan, kerajaan turut mengadakan kempen yang bermatlamat untuk mempromosikan dan memperkukuhkan kepentingan jenama IKS. Agensi yang bertanggungjawab dalam kempen ini ialah SMIDEC dan MARA. Penubuhan kempen ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan pembangunan IKS di Malaysia. Ini akan menggalakkan pengusaha IKS untuk memanfaatkan penjenamaan bagi memasarkan produk dan perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi. Kempen yang dijalankan ini akan dapat membantu IKS dalam membangunkan dan mempromosikan jenama keluaran mereka disamping dapat mempamerkan produk kepada orang awam melalui iklan-iklan di internet, radio, surat khabar, kain rentang dan sebagainya. Dengan menyertai kempen tersebut, ini menunjukkan IKS sentiasa berusaha secara berterusan untuk memenuhi permintaan pelanggan dari segi produk dan perkhidmatan yang disediakan.
Sebagai usaha untuk membangunkan IKS, kerajaan telah menyediakan sokongan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi memajukan IKS di pasaran tempatan dan antarabangsa. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bukan sahaja dapat menarik pengusaha baru untuk menceburi bidang perniagaan malah turut memainkan peranan dalam membantu masyarakat dengan memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara. Oleh yang demikian, penting bagi kerajaan untuk memberikan komitmen sebenar ke arah memajukan sektor IKS.
Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif. Salah satu langkah drastik yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. Contohnya: Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur ,Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya, Wilayah Persekutuan,Skim geran penyelidikan dan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Cyberjaya Selangor.
Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan.Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan.Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan. Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS.
Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan.Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara. IKS memerlukan perlaksanaan pengurusan yang lebih tersusun berbanding dengan firma besar. Hal memandangkan IKS memiliki sumber tabungan modal dan sumber pekerja yang terhad dan yang secara jauh lebih kecil berbanding dengan firma besar bertaraf multinasional. Justeru itu, IKS lebih memerlukan perlaksanaan sistem pengurusan yang berkesan bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam operasi mereka. Dalam hubungan ini, IKS bukan sahaja memerlukan pengurusan, tetapi perlaksanaan sistem pengurusan yang berkualiti tinggi. Usahawan IKS perlu mengenalpasti keutamaan-keutamaan dari segi pengagihan sumber kepada aspek operasi yang lebih memerlukan dan merancang aspek yang kurang memerlukan perhatian bagi perancangan masa depan. Keberkesanan perlaksanaan pengurusan IKS dalam hal ini, banyak bergantung kepada sifat-sifat usahawan yang merupakan kunci bagi menentukan hala tuju perlaksanaan pengurusan dalam perniagaan IKS.
Kalau dilihat secara kasar sememangnya IKS tidak mengalami banyak masaalah. Ini kerana laporan dan publisiti yang dibuat seolah-olah industri ini banyak dibantu dan berjalan dengan lancar. Adalah tidak dinafikan pihak kerajaan telah melakukan segala-galanya untuk IKS. Kerajaan telah menyediakan bantuan modal, menyediakan premis untuk disewa, khidmat nasihat dan bermacam-macam lagi. Tahniah kepada pihak kerajaan dan bantuan ini sudah semestinya amat dihargai.

No comments:

Post a Comment