Kesimpulannya,
terdapat banyak kebaikan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita.
Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu
begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini
sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang
berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada
di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak
langsung jati diri negara telah terserlah. Oleh hal yang demikian, semua
pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah
bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah
diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan
memajukan IKS. Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam
pasaran di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga
selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian
diutamakan.
Asas Keusahawanan
Wednesday 12 August 2015
7.0 Langkah-langkah Untuk Mendorong dan Membangunkan IKS Luar Bandar
Langkah-langkah
untuk mendorong
dan membangunkan IKS Luar Bandar antaranya adalah dengan menggunakan teknologi.
Penggunaan teknologi tidak mustahil pengusaha IKS mampu untuk mengetengahkan
perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa. Ini dapat dilihat di mana teknologi
membantu IKS untuk meneroka pasaran baru dengan kos yang minimum. Dengan
menggunakan kelebihan teknologi sebagai saluran jualan dan pemasaran yang
berkesan, pengusaha dapat meyakinkan pelanggan untuk membeli produk keluaran
IKS disamping dapat meningkatkan keupayaan IKS untuk mencari pelanggan baru,
tempatan dan luar negara. Kelebihan teknologi tersebut, membolehkan IKS menjadi
lebih produktif dan cekap, lantas lebih kompetitif dalam meningkatkan sumbangan
mereka kepada ekonomi Negara.
IKS boleh memanfaatkan kemajuan teknologi bagi
meningkatkan keberkesanan pengurusan yang membawa kepada peningkatan kecekapan
dan produktiviti. Salah satu aplikasi teknologi yang membolehkan IKS
meningkatkan kualiti produk dan jumlah pengeluaran ialah melalui penggunaan
mesin. Iklim perniagaan yang semakin banyak berubah pada masa kini seperti
negara tidak mampu lagi membekalkan tenaga kerja yang murah hasil daripada perubahan
taraf hidup dan kos sumber pengeluaran yang semakin meningkat. Penggunaan mesin
menjadi semakin penting dan amat dititiberatkan oleh IKS kerana ianya lebih
efektif dan menjimatkan masa kerana sesuatu proses pengeluaran berlaku dengan
cepat di mana mesin mampu menghasilkan jumlah pengeluaran produk dalam kuantiti
yang banyak dalam tempoh masa singkat seperti mesin pemotong ubi yang
boleh memotong ubi dengan lebih efektif berbanding dengan tenaga manusia.
Malah, dengan adanya mesin pengusaha IKS dapat menjimatkan kos kerana sudah ada
mesin yang mengantikan tenaga manusia maka pengusaha tidak perlu lagi membayar
gaji pekerja setiap bulan. Bukan itu sahaja, berbanding dengan tenaga manusia
mesin dapat membantu menjadikan kualiti produk dan perkhidmatan sentiasa
terkawal dan berada dalam keadaaan yang baik kerana mesin tidak mudah penat dan
jemu dalam menghasilkan produk berbanding tenaga manusia yang boleh menjejaskan
prestasi perniagaan.
Dalam usaha
untuk meningkatkan lagi status dan kemampuan IKS untuk bersaing dengan
industri-industri yang lebih besar. IKS juga boleh mengaplikasikan teknologi
maklumat dalam perniagaan mereka. Sebagaimana yang kita telah ketahui,
penggunaan teknologi maklumat telah lama dipraktikkan di negara-negara maju
seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah yang lain. Oleh
yang demikian, sudah sampai masanya untuk pengusaha-pengusaha tempatan
mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka dalam usaha untuk
meningkatkan daya saing dan keberkesanan dalam pengurusan. Dengan teknologi
maklumat, IKS dapat mengakses maklumat dari semasa ke semasa berkaitan dengan
perniagaan dengan lebih meluas. Maklumat yang telah diakses tersebut sedikit
sebanyak dapat membantu IKS untuk menghadapi persaingan dengan industri-industri
lain yang berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. IKS juga dapat
menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan peluang-peluang perniagaan
yang lebih besar serta untuk mendapatkan potensi perniagaan yang lebih baik.
Disamping itu, idea-idea yang lebih kreatif boleh dicetuskan supaya kaedah atau
cara yang lebih baru boleh digunakan untuk memperbaiki operasi perniagaan
selain dapat menambah baik proses keseluruhan melalui penggunaan kaedah khusus
untuk sistem dan proses perniagaan yang lebih cekap.
Selain itu, IKS juga boleh memanafaatkan penggunaan
internet dalam perniagaan mereka kerana dengan menggunakan internet sebagai
medium perniagaan, IKS mampu meluaskan pasaran ke serata dunia dalam masa yang
sama dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Ini kerana penggunaan
internet banyak menyumbang kepada kejayaan IKS di mana kemampuan internet untuk
melangkaui batas-batas sempadan politik dan geografi tanpa sebarang halangan
dalam masa yang begitu singkat. Internet sememangnya memberi kebaikan kepada
pengguna, organisasi dan masyarakat. Dengan pelaburan yang rendah, IKS dapat
mempromosikan produk keluaran kepada pengguna di seluruh dunia. Malah,
perbelanjaan percetakan untuk tujuan promosi dan pengiklanan juga dapat
dielakkan sama ada di dalam surat khabar, katalog atau majalah di mana ia
memerlukan kos yang agak tinggi. Bukan itu sahaja, kandungan iklan dapat direka
mengikut citarasa sendiri dan penerangan mengenai produk boleh dibuat dengan
lebih terperinci. Dengan penggunaan teknologi, pengusaha IKS boleh berhubung
dengan pelanggan dengan lebih dekat lagi tanpa perlu bersemuka dimana pelanggan
bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membantu IKS dalam menaikkan
lagi prestasi perniagaan disamping dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam usaha untuk mempromosikan produk, pengusaha IKS juga boleh menggunakan
laman sosial seperti ‘facebook’,
‘instagram’, ‘tagged’, dan sebagainya untuk menarik
lebih ramai lagi pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan yang lama.
Penggunaan laman web juga penting untuk tujuan pemasaran
dan mempromosikan produk dan perkhidmatan IKS. Laman web merupakan saluran
terbaik bagi memasarkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang minimum.
Perkhidmatan laman web menjadi satu keperluan bagi membantu perusahaan IKS yang
mungkin tidak diketahui oleh pelanggan tentang kewujudannya di pasaran untuk
lebih dikenali bukan sahaja dalam pasaran tempatan malah dalam pasaran
antarabangsa juga. Dengan menggunakan laman web, organisasi tidak perlu
mempunyai saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna tentang kewujudan
organisasi dalam pasaran malah dengan adanya rangkaian perkhidmatan dalam
talian yang kukuh dan berkesan sudah cukup untuk meyakinkan pengguna. Ini
kerana, saiz firma yang besar tidak menjamin kepada pengguna bahawa keadaan
syarikat adalah kukuh. Berbeza dengan kaedah tradisional, maklumbalas dari
pelanggan adalah lambat serta memakan masa yang lama dan kadang-kadang sukar
untuk diketahui. Dengan teknologi, maklumbalas dapat diterima dengan cepat
melalui e-mail atau ruangan maklumbalas yang disediakan oleh pengusaha dalam
perkhidmatan laman web mereka. Pelanggan boleh mengemukakan idea dan komen
dalam ruangan atau e-mail yang disediakan oleh pengusaha dalam laman web. Ini
membolehkan pengusaha IKS sentiasa peka dengan kehendak dan permintaan pasaran
dari semasa ke semasa dan membolehkan perusahaan mengeluarkan serta
menghasilkan produk atau perkhidmatan mengikut citarasa pengguna.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penggunaan teknologi
banyak mempengaruhi kejayaan IKS dan sememangnya memberi perubahan yang besar
kepada produktiviti IKS. Oleh yang demikian, pelbagai langkah perlu
diperkenalkan untuk membantu IKS memodenkan operasi dan mengurangkan kos
pengeluaran. Antara yang boleh dipertingkatkan ialah intensif yang menggalakkan
pengusaha IKS terutamanya di luar bandar beralih daripada cara tradisional
kepada teknologi moden. Pengusaha IKS di luar bandar juga perlu didedahkan
dengan bidang teknologi moden supaya perusahaan mereka dapat diperbesarkan dan
produk-produk yang dihasilkan boleh dipasarkan sehingga ke luar negara. Ke arah
itu juga, persekitaran yang lebih kondusif bagi pengusaha IKS membangunkan
jenama masing-masing perlulah disediakan.
6.0 Sistem Sokongan IKS Luar Bandar
Sokongan
kerajaan tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kejayaan IKS. Kerajaan
melalui pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan
program untuk menyokong pembangunan IKS. Ini bertujuan untuk menggalakkan
pembangunan IKS yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan
sumbangan IKS kepada ekonomi negara. Sokongan kerajaan bagi membangunkan IKS
adalah dalam bentuk program yang dirangka khusus bagi menyediakan infrastruktur
supaya lebih mudah bagi pengusaha menceburi bidang perniagaan, menanam semangat
keusahawanan dan mendidik bakal usahawan.
Bagi memastikan IKS terus berdaya maju, pelbagai langkah
turut diatur oleh kerajaan untuk membantu IKS meningkatkan kejayaan mereka.
Sesebuah IKS akan maju jika diberi pertolongan dalam semua perkara terutamanya
dari segi pinjaman kewangan. Oleh kerana IKS memainkan peranan penting dalam
menerajui pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan jumlah dana
yang semakin meningkat pada setiap tahun. Untuk pengusaha yang baru menceburkan
diri dalam bidang perniagaan, pinjaman modal amatlah diperlukan untuk memulakan
sesuatu perusahaan. Dengan adanya pinjaman tersebut, IKS dapat
membangunkan perusahaan mereka terutamanya kepada perusahaan-perusahaan yang
masih dalam peringkat untuk berkembang sehingga ke tahap global. Disamping itu
juga, pinjaman yang disediakan membantu untuk membuka peluang kepada golongan
IKS yang sedia ada mengembangkan perniagaan mereka selain dapat memenuhi
keperluan dalam memulakan perniagaan baru.
Sebagaimana yang kita telah ketahui, IKS sering dikaitkan
dengan kekurangan dana untuk membeli teknologi. Bagaimanapun, ini semua akan
berubah dengan adanya bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan kepada
IKS. Hasrat kerajaan untuk melihat IKS terus berkembang maju menyebabkan
pinjaman dari segi kewangan dipermudahkan dan dipertambahkan dalam jumlah yang
lebih banyak. Usaha ini secara tidak langsung akan membantu memberi impak yang
positif kepada ekonomi Negara.
Kerajaan terus
memainkan peranan aktif dalam membangunkan IKS menerusi pelbagai program dan
aktiviti. Dalam usaha ke arah mewujudkan dan membangunkan usahawan yang dinamik
dan berpengetahuan, kerajaan telah menganjurkan kursus dan latihan kepada IKS
terutamanya untuk usahawan yang berpotensi dan sedia ada. Kursus dan latihan
yang diberikan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan pekerja
untuk memastikan IKS memiliki kumpulan tenaga kerja yang mahir dan
berpengetahuan terutamanya dari segi pengurusan. Agensi yang terlibat dalam
kursus dan latihan ini kebiasaanya dibuat oleh pihak TEKUN dan MARA, kerana
agensi ini amat memberi peranan dalam latihan dan kursus yang dibuat untuk
usahawan IKS, seperti kursus dan latihan pembungkusan, kewangan, kepimpinan,
pengurusan, dan sebagainya. Walaupun mempunyai dana yang mencukupi, perusahaan
IKS tidak mungkin berjaya sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kemahiran
dalam menguruskan perusahaan. Dengan memiliki pengetahuan dan kemahiran yang
tinggi, pekerja dapat membantu dalam meningkatkan produktiviti organisasi.
Kursus dan latihan yang disediakan penting bagi membolehkan sesebuah organisasi
berkembang menjadi syarikat yang berjaya dalam peringkat domestik serta dapat
melangkau ke peringkat serantau dan global.
Dengan melihat kepada segala keperluan IKS dari segi
kewangan dan kemahiran, kerajaan turut menawarkan khidmat nasihat perniagaan
yang komprehensif kepada IKS supaya IKS mendapat khidmat nasihat yang
berkualiti tinggi dan lebih baik berbanding sebelumnya terutamanya dalam bidang
pemasaran, pengurusan dan operasi. Perkhidmatan yang telah ditawarkan kepada
IKS adalah dalam semua peringkat kitaran perniagaan bagi membantu mereka
berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam aktiviti perniagaan. Terdapat
beberapa agensi yang menyediakan khidmat nasihat kepada IKS. Antaranya ialah
seperti SMIDEC, MARDI dan MARA.
Tujuan khidmat
nasihat ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi panduan kepada IKS
tentang cara menguruskan perniagaan dengan lebih baik terutamanya dalam persekitaran
kos yang semakin meningkat dan lebih sukar pada masa kini. IKS boleh
mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih lanjut mengenai langkah-langkah yang
berkesan untuk menguruskan perniagaan dan secara tidak langsung membantu bagi
mengukuhkan operasi perniagaan IKS. Selain itu, IKS boleh mendapatkan maklumat
yang pelbagai bagi menangani masalah yang dihadapi dalam perniagaan dan
memperbaiki proses pengurusan. Dengan adanya khidmat nasihat tersebut,
pengusaha IKS akan lebih bermotivasi dalam menjalankan perniagaan serta dapat
menghasilkan idea yang lebih kreatif untuk diaplikasikan dalam perniagaan pada
masa depan.
Untuk
mengembangkan lagi perniagaan IKS, kerajaan turut menyediakan infrastruktur
atau kemudahan bagi menyokong pertumbuhan IKS terutamanya kepada IKS di kawasan
luar bandar. Antara kemudahan yang disediakan ialah kilang dan bengkel,
penyediaan subsidi tanah, subsidi mesin dan subsidi pengangkutan dan
sebagainya. Kemudahan ini disediakan adalah dengan tujuan untuk memberi
keselesaan dan memudahkan lagi proses perniagaan IKS dijalankan. Malah
kemudahan tersebut juga memberi peransang kepada IKS dalam usaha untuk
meningkatkan produktiviti dan memajukan organisasi. Sebagai contoh, melalui
penyediaan tanah oleh kerajaan, pengusaha IKS boleh memanfaatkan kemudahan
tersebut untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan atau sebagai tempat untuk
menghasilkan bahan mentah sendiri. Dengan itu, pengusaha dapat mengurangkan kos
di mana sekiranya IKS sudah mempunyai tapak atau bahan mentah sendiri maka
pengusaha tidak perlu lagi mengeluarkan dana untuk membayar sewa dan kos untuk
bahan mentah. Dari segi penggunaan mesin pula ia boleh meningkatkan hasil
keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia amat mempengaruhi pemasaran
untuk pembekalan yang berterusan. Dari segi pengangkutan pula ia memudahkan
untuk ke satu kawasan ke kawasan yang lain, dimana ia amat membantu dalam
penghantaran bekalan dan memperolehi bekalan dengan cara yang lebih berkesan.
Untuk memudahkan dan membantu IKS dalam perniagaan,
kerajaan turut mengadakan kempen yang bermatlamat untuk mempromosikan dan
memperkukuhkan kepentingan jenama IKS. Agensi yang bertanggungjawab dalam
kempen ini ialah SMIDEC dan MARA. Penubuhan kempen ini mencerminkan komitmen
dan kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan pembangunan IKS di Malaysia. Ini
akan menggalakkan pengusaha IKS untuk memanfaatkan penjenamaan bagi memasarkan
produk dan perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi. Kempen yang dijalankan
ini akan dapat membantu IKS dalam membangunkan dan mempromosikan jenama
keluaran mereka disamping dapat mempamerkan produk kepada orang awam melalui
iklan-iklan di internet, radio, surat khabar, kain rentang dan sebagainya.
Dengan menyertai kempen tersebut, ini menunjukkan IKS sentiasa berusaha secara
berterusan untuk memenuhi permintaan pelanggan dari segi produk dan
perkhidmatan yang disediakan.
Sebagai usaha untuk membangunkan IKS, kerajaan telah
menyediakan sokongan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi memajukan IKS
di pasaran tempatan dan antarabangsa. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bukan
sahaja dapat menarik pengusaha baru untuk menceburi bidang perniagaan malah
turut memainkan peranan dalam membantu masyarakat dengan memberi peluang
pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara. Oleh yang demikian, penting bagi
kerajaan untuk memberikan komitmen sebenar ke arah memajukan sektor IKS.
Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur
beberapa banyak langkah yang konstruktif. Salah satu langkah drastik yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran
pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. Bantuan ini
dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan
pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. Antara
geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim
kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. Contohnya:
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur ,Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya, Wilayah Persekutuan,Skim
geran penyelidikan dan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) di Cyberjaya
Selangor.
Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui
institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional,
bank komersial seperti Bank
Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. Melalui Skim Khas Bank Negara,
Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang
bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan.
Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
Dalam pada itu,
khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak
kerajaan.Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut
mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan
oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. Para pengusaha memang
memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi
IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping
meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global.
Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal
termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd.,
dan Persatuan IKS Malaysia. Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran,
pengusaha-pengusaha yang mentah
dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan
menghadapi pelbagai rintangan.Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan
beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan
perolehan. Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program
latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan
aktiviti IKS. Dalam konteks ini, Perbadanan
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama
yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. Selain menawarkan khidmat
nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program
latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS.
Antaranya termasuklah program rantaian industri,
program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. Bahkan,
Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk
menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar
bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan.Antara program
yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan,
skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. Melalui agensi-agensi
kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara. IKS memerlukan
perlaksanaan pengurusan yang lebih tersusun berbanding dengan firma besar. Hal
memandangkan IKS memiliki sumber tabungan modal dan sumber pekerja yang terhad
dan yang secara jauh lebih kecil berbanding dengan firma besar bertaraf
multinasional. Justeru itu, IKS lebih memerlukan perlaksanaan sistem pengurusan
yang berkesan bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam operasi mereka. Dalam
hubungan ini, IKS bukan sahaja memerlukan pengurusan, tetapi perlaksanaan
sistem pengurusan yang berkualiti tinggi. Usahawan IKS perlu mengenalpasti
keutamaan-keutamaan dari segi pengagihan sumber kepada aspek operasi yang lebih
memerlukan dan merancang aspek yang kurang memerlukan perhatian bagi
perancangan masa depan. Keberkesanan perlaksanaan pengurusan IKS dalam hal ini,
banyak bergantung kepada sifat-sifat usahawan yang merupakan kunci bagi
menentukan hala tuju perlaksanaan pengurusan dalam perniagaan IKS.
Kalau dilihat secara kasar sememangnya IKS tidak
mengalami banyak masaalah. Ini kerana laporan dan publisiti yang dibuat
seolah-olah industri ini banyak dibantu dan berjalan dengan lancar. Adalah
tidak dinafikan pihak kerajaan telah melakukan segala-galanya untuk IKS.
Kerajaan telah menyediakan bantuan modal, menyediakan premis untuk disewa,
khidmat nasihat dan bermacam-macam lagi. Tahniah kepada pihak kerajaan dan
bantuan ini sudah semestinya amat dihargai.
4.0 Kepentingan dan Sumbangan IKS Luar Bandar Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara
Mutakhir
ini, arus globalisasi yang menerjah dunia
telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi
politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini,
kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan
slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga
merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat
dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat
inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu
hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan
dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan
Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik,
kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat
dan Negara
Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat
terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri
ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung
Satu Produk’. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat
sos tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang
dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta
pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil
IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun
keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah
pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para
pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih
tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan
pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi
cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha
IKS pada hari ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat
penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya
meningkatkan ekonomi Negara.
Selain itu, perkara yang sering
diperkatakan dalam IKS ialah ia berupaya meningkatkan peluang pekerjaan kepada orang ramai. Hal ini demikian
memandangkan
IKS mampu
menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik
pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Hal ini secara terus
dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran
dalam operasi IKS. Selain itu, peranan IKS sebagai tempat latihan dalam
pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha tidak dapat
dipertikaikan lagi. Dengan jumlah modal tersebut, pengusaha IKS dapat membina
latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok-belok operasi perniagaan
dan bergantung hidup kepada perniagaan tersebut. Bagi sejumlah modal yang kecil
juga sukar bagi seseorang
pengusaha mendapat faedah yang sama dalam firma besar. Peluang pekerjaan dalam
IKS ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang
berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja terlibat. Latihan dan
kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu
bidang operasi. Di samping itu, IKS memainkan peranan penting dalam pembangunan
ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan, dan mengukuhkan lagi struktur asas
pembangunan industri negara. Pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1970-an
hingga ke hari ini, telah banyak menghubung dan menggabungkan ekonomi negara
ini dengan keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa. Hasilnya,
struktur pembangunan industri di Malaysia lebih berbentuk pergantungan dan
penyesuaian pengeluaran barangan untuk pasaran eksport. Keadaan pasaran
tempatan yang kecil tidak menjadi satu pendorong yang kuat. IKS dapat memberi
sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara melalui hubungjalin mereka
dengan firma besar dan syarikat antarabangsa. Hubungjalin yang tersusun dan
ikhlas dapat menjamin penerusan, perkembangan dan kejayaan IKS baik dari segi
meringankan beban kapital, kos pengurusan, pengangkutan mahupun pemasaran.
Tambahan lagi,
hubungjalin yang sesuai
boleh memberi faedah penting dari segi perpindahan teknologi, peningkatan kualiti
barangan, produktiviti, latihan dan kemahiran kepada pengusaha dan pekerja di
samping mempercepatkan pembinaan struktur asas perindustrian negara dengan
lebih baik. IKS juga penting dalam menambahkan tabungan dan pelaburan dalam
ekonomi.Dalam mengagihkan pendapatan di kalangan penduduk, dalam memberikan
latihan dan pengembangan kemahiran untuk pekerja dan pengusaha, dalam membantu
memperkukuhkan struktur asas industri nasional, dalam mempertingkatkan hubung
jalin dengan firma besar dan multi-nasional dalam ekonomi dan dalam menyediakan barangan yang tidak dapat
dihasilkan oleh firma-firma besar dan multinasional. Atas sebab ini,
kepentingan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
mendapat pengiktirafan yang meluas. IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada
masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana
dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang
ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk
menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka.
Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang
pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta
meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja
dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada
suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ.
Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada
masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang
diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang
berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja
tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti
produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka
peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara
mengurangkan masalah pengangguran.
Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar
juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia
maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk prosespengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat.
Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.
Ada pendapat
yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh
dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya
daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Kolerasinya ialah kewujudan IKS
dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa
para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di
Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum
yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar,
pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan
dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri
negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli
kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada
rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut
bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini
menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan
menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja
akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat
meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Subscribe to:
Posts (Atom)